TEKS UCAPAN MAJLIS PERPISAHAN GURU PERPUSTAKAAN & MEDIA SMK PERMAI INDAH





Bismillahirrahmaniraahim,

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.


Yang Berusaha Puan Hajah Aziah Binti Yahaya

Pengetua

SMK Permai Indah

----------------------------------------------------

Yang Dihormati En Muhamad Nawal Bin Othman

Penolong Kanan Pentadbiran

----------------------------------------------------

En.Md Fuad Bin Ibrahim

Penolong Kanan Hal Ehwal Murid

----------------------------------------------------

Puan Hapisah Bt Muhamad

Penolong Kanan Ko-Kurikulum

----------------------------------------------------


Guru-Guru SEMINDA serta anak-anak SEMINDA yang dihormati sekalian


Sudah menjadi lumrah dalam kehidupan, setiap yang bermula pasti akan berakhir. Setiap yang bertemu pasti akan berpisah. Itulah kehidupan. Mahu atau tidak, perkara tersebut tidak mungkin dapat dielakkan.

Sejak menjadi guru dari tahun 2008 saya telah menempuh pelbagai cerita suka duka dalam sebuah perpisahan dan kehilangan. Barangkali bagi guru-guru, perpindahan keluar masuk adalah sesuatu yang amat menyedihkan. Namun realitinya, setiap yang patah sudah pasti akan tumbuh, yang masak akan gugur.


Sepanjang saya berkhidmat di SMK Permai Indah iaitu selama 5 tahun bermula dari tahun 2018 sehingga ke saat ini saya amat menghargai segala jasa baik, kerjasama &  kasih sayang  yang telah diberikan oleh semua guru di sekolah ini. Segala kenangan dan pahit manis kita bersama dalam menjalankan tanggungjawab dan tugas akan sentiasa saya sematkan di dalam lubuk hati saya. Kenangan dan pengalaman bersama akan sentiasa subur dalam ingatan saya sepanjang menjadi seorang guru.


Saya juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada barisan pentadbir, guru-guru, staf, pekerja kebersihan dan anak-anak SEMINDA yang telah sama-sama berganding bahu membuat TRANSFORMASI PSS SEMINDA. Tidak juga dilupakan kepada AJK PSS SEMINDA yang banyak membantu dalam melancarkan segala urusan di PSS SEMINDA.

Pesanan buat anak-anak SEMINDA

Jangan simpan dendam pada guru yang mendenda kita kerana guru sudah meletakkan nilai yang besar pada diri kita.


Buat para pelajar, jangan mencari kesempurnaan dalam mencari org yang mendidik kita. Nescaya tidak akan ditemui..

Apa yang buruk daripada saya, jadikan sempadan dan juga pedoman.

Buat anak-anak yang akan menduduki SPM, buat yang terbaik…GOOD LUCK n ALL THE BEST!


Saya juga ingin mengambil kesempatan yang terluang ini, menyusun sepuluh jari memohon maaf kepada seluruh warga SEMINDA khususnya rakan-rakan guru yang telah sama-sama mencurah bakti untuk anak bangsa yang kita cintai. Saya memohon agar dihalalkan makan minum dan segala ilmu yang telah dikongsi bersama sepanjang saya bersama dengan guru-guru SEMINDA.


Buat akhirnya terimalah rangkap sajak khas saya tujukan untuk semua warga SEMINDA ikhlas dari lubuk hati saya,


Sudah adat bertemu,

Tentu ada perpisahannya

Sudah adat berjumpa,

Tentu ada nokhtah perhentiannya


Kalau diturutkan hati

Tentu tak mahu melepaskan diri ini untuk pergi

Tapi apakan daya…..

Sudah tersurat dari ilahi


Pertemuan kita hanya setakat ini…

Oleh itu janganlah ianya diratapi….

Apa yang lebih penting…

Hubungan  sillaturahim akan terus kekal abadi.


Sekian, Terima Kasih


Post a Comment

0 Comments